Rabu, 2 Disember 2009
Tokoh Pelajar Asrama Dijamu Durian Bersama YAB Menteri Besar Perlis
Mereka yang terdiri pelajar sekolah menengah dan rendah berasrama dari seluruh Negara diraikan pada majlis ‘makan durian’ di Eagle Park Resort, Bukit Ayer , Bintong oleh Menteri Besar yang juga Exco Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Perlis. Peserta-peserta turut berpeluang beramah mesra dengan Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bintong sambil menikmati jamuan pulut durian ‘ala Perlis’.
Hari Keluarga Mampu Eratkan Hubungan Silaturahim
“Hari keluarga yang dianjurkan oleh sesuatu badan mampu mengeratkan hubungan antara satu sama lain”, bukan sahaja dikalangan penduduk setempat malah juga dengan jiran-jiran berdekatan,” demikian menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Md. Isa Sabu.
Menteri Besar yakin melalui aktiviti-aktiviti sampingan yang diselitkan bersama dalam program tersebut seperti bergotong-royong, kenduri kampung, sukan rakyat dan sebagainya mampu merapatkan jurang perbezaan pelbagai lapisan masyarakat tempatan.
Menteri Besar dan Setiausaha Politiknya, Azali Abbas turut mengambil bahagian dalam acara sukan melastik tin. Dr. Md. Isa juga diberi penghargaan mengadili pertandingan barangan antik seperti seterika lama, keris, gantang, jam dinding dan pelbagai barangan lain yang dipamerkan sempena program hari keluarga dan program sukaneka.
FAMA Hargai Usahawan Pasar Tani
Pasar Tani yang wujud lebih 25 tahun lalu telah jauh berbeza keadaannya dahulu dan sekarang. Konsep berniaga secara kecil-kecilan dikalangan peniaga berubah menjadikan perniagaan di pasar tani kini sebagai satu medan yang mampu menghasilkan pendapatan lumayan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Md. Isa Sabu melalui teks ucapannya yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Sabry Ahmad sempena Majlis Malam Usahawan Pasar Tani Negeri Perlis bertempat di Hotel Putra Palace, Kangar telah melahirkan rasa bangga melihat perkembangan pesat di pasar-pasar tani yang beroperasi di negeri ini.
“Pasar tani merupakan salah satu rangkaian pemasaran yang benar-benar berkesan serta berupaya membantu usahawan memperolehi pandapatan lebih lumayan. Melalui peranan FAMA memperlihatkan bahawa usahawan tani begitu diberi perhatian malah usahawan-usahawan itu juga sentiasa bersedia memenuhi kehendak semasa kearah meningkatkan usaha mereka,” kata Menteri Besar.
Beliau menambah, “masyarakat tidak seharusnya memandang rendah terhadap usahawan pasar tani, sebaliknya peranan mereka harus dihargai dan disanjung tinggi kerana mereka adalah antara yang banyak membantu masyarakat sebagai pengguna tanpa bergantung kepada orang lain. Secara tidak langsung mereka juga turut membantu membaiki ekonomi Negara.”
"Isteri Harus Selari Dengan Tugas Suami"- Dato' Seri Dr. Md. Isa Sabu
“Isteri pemimpin politik harus selari dengan tugas suami sebagai orang politik. Walau bagaimanapun isteri harus bijak menyesuaikan diri sebagao orang kedua di belakang suami,” demikian pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Md Isa Sabu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung ke-14, Badan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat (BAIDUNITA) yang berlangsung di Kompleks Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
“Sebagai pemimpin nombor dua di belakang suami, isteri juga harus teliti dan cermat bertindak sekiranya ada masalah yang timbul supaya ianya tidak menjejasklan hubungan,” tambah Menteri Besar. “Melalui penglibatan sebagai orang politik,masyarakat bukan sahaja memerhati dan menilai peranan seseorang wakil rakyat, tetapi peranan isteri wakil rakyat juga turut diberi perhatian. Justeru sebagai isteri wakil rakyat, seharusnya sealiran dan sentiasa bersama suami. Sama-sama berperanan dan menyesuaikan diri serta pandai mengambil hati rakyat,” kata Menteri Besar.
Turut hadir pada majlis tersebut Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Mohammad Zabidi Zainal, Anggota-anggota Majlis Msyuarat (Exco) Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan isteri Menteri Besar, Datin Seri Asiah Asmuni selaku Yang Di Pertua BAIDUNITA.